23
Sab, Jun

#Parlimen : Kerajaan Sedia Tambah Aset Udara Kawal Perairan Air Sabah - Shahidan

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia untuk menambah aset udara bagi tujuan operasi di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, penambahan aset itu akan mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di perairan pantai timur Sabah.

“ESSCOM adalah bertujuan untuk menyelaras pasukan-pasukan keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), APMM, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil daripada perbincangan semua kerajaan telah bersetuju untuk mempertimbang penambahan aset udara dan kita bersedia untuk menambah aset tersebut jika perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pada sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan tentang kerugian yang dialami nelayan di perairan tersebut, Shahidan berkata ia perkara yang tidak benar kerana para nelayan bebas menangkap ikan pada bila-bila masa susulan permit yang boleh dipohon di IPD.

“Walaupun kita buat perintah berkurung berkuatkuasa pada jam 6 petang sehingga 6 pagi, nelayan boleh mohon permit di IPD, kurang jumlah ikan yang menyebabkan kerugian kepada nelayan adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya fish bombing, kerosakan terumbu karang, jadi perintah berkurung adalah langkah terbaik untuk mengawal nelayan asing masuk ke kawasan kita, dan nelayan kita pergi ke tempat orang,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut tidak bertolak ansur jika terdapat nelayan asing yang menceroboh perairan pantai timur Sabah dan perkara itu akan dibanteras habis-habisan.