14
Jum, Dis

#Parlimen : KPM Komited Laksana Transformasi Pendidikan – Mahdzir

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited melaksanakan transformasi pendidikan yang bermatlamat melengkapkan setiap murid dengan kemahiran baru untuk merebut peluang dan menangani cabaran abad yang ke-21.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPM juga bertanggungjawab untuk menjayakan Aspirasi Malaysia melalui Transformasi Nasional 2050 yang dilancarkan Perdana Menteri pada 19 Januari 2017.

“Antara langkah utama KPM dalam transformasi ini ialah perubahan kurikulum di semua peringkat. Perubahan kurikulum dalam pra sekolah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Pra Sekolah Kebangsaan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Perubahan di semua peringkat kurikulum ini memasukkan elemen yang berkait dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang disediakan untuk pelajar bagi membolehkan mereka ada elemen kreatif dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya lagi, perubahan lain yang dilakukan KPM ialah berkait dengan STEM yang mana pihaknya membuat penambahbaikan kepada makmal sains untuk membolehkan amali dibuat secara praktikal.