#Parlimen : Mahkamah Tentukan Berita Tidak Benar - Azalina

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberikan satu pihak yang neutral iaitu mahkamah untuk menentukan samada sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, kuasa telah diberikan kepada mahkamah untuk membuat perintah bagi menghapuskan apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

“Bagi tujuan permohonan perintah di bawah fasal 7, removal of fake news, mahkamah memerlukan laporan polis, satu salinan diakui sah penerbitan berita palsu, dokumen lain yang berkaitan dengan permohonan serta satu affidavit menyokong permohonan yang menyatakan butir diri pemohon dan butir berita palsu.

“Setelah meneliti kesemua dokumen dan keterangan pengadu bahawa penerbitan itu mengandungi berita tidak benar, maka mahkamah mengeluarkan perintah di bawah seksyen 7. Perkara ini juga terpakai dalam kes-kes yang melibatkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Liang di dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan siapakah yang akan menentukan sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya di dalam pelaksanaan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar.

Untuk rekod, Parlimen baru-baru ini telah meluluskan RUU tersebut bagi melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar.