22
Isn, Okt

#Parlimen : VEP Dijangka Dilaksana Hujung April - Aziz Kaprawi

Parlimen
Typography

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan ‘Vehicle Entry Permit’ (VEP) di sempadan Johor-Singapura dijangka akan dapat dimulakan pada penghujung bulan April 2018.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, buat masa ini sistem tersebut sedang menjalani ujian bersama dengan sistem e-wallet Tounh n’ Go bagi tujuan Caj Jalan (RC).

Tambah beliau, pelaksanaan VEP melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian, pemasangan infrastruktur, pembangunan sistem dan integrasi sistem JPJ, PDRM dan Kastam.

Selain itu katanya, penyelarasan prosedur dengan agensi-agensi yang berada di pintu sempadan juga perlu dimuktamadkan sebelum VEP dapat dilaksanakan.

“Walaubagaimanapun, pelaksanaan VEP disaran mengambil kira keperluan teknologi ‘Multi Lane Free Flow’ (MLFF) yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Kerja Raya. 

“Untuk memenuhi keperluan tersebut, sistem e-wallet Touch n’ Go juga telah dibangunkan bagi membolehkan pembayaran RC melalui RFID Tag dengan menggunakan akaun e-wallet Touch n’ Go tanpa menggunakan kad seperti sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) di Dewan Rakyat, hari ini.