22
Ahd, Jul

Kemarau Semakin Meruncing

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Lebih 30 buah kampung sekitar daerah Inanam hadapi masalah kekurangan bekalan air bersih hingga menjejaskan kehidupan harian mereka, ditambah lagi degan cuaca panas berpanjang sejak akhir-akhir ini.

Ke semua kampung ini bergantung dengan sumber air sungai untuk kegunaan harian manakala bekalan air graviti digunakan untuk bekalan makan dan minum.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kawasan Inanam Fredolin Totin Bangon berkata, berikutan masalah kekurangan air bersih itu semakin kritikal akibat kemarau berpanjangan dan banyak sungai semakin cetek, pihak UPPM Inanam telah bersiap siaga untuk mengatasinya.

“Ini termasuk melantik beberapa kontraktor untuk menghantar bekalan air terawat menggunakan lori tangki air ke kawasan memerlukan.

“Usaha menghantar air bersih terawat ke kawasan terjejas telah dimulakan minggu ini di beberapa kampung yang dikenal pasti, termasuk menyediakan tangki air kepada penduduk,” katanya.

Fredolin turut menambah pihak UPPM Inanam telah mengarahkan kepada semua pengerusi JKKK untuk memaklumkan segera jika hadapi masalah yang sama di pejabat UPPM atau berhubung terus dengan beliau selaku PPM Inanam.

"Saya menzahirkan rasa simpati kepada penduduk masyarakat sekitar daerah ini yang hadapi masalah bekalan air dan berharap agar mereka bersabar kerana usaha mengatasi masalah tersebut telah dimaklumkan dan telah juga mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah.

Fredolin yang juga Ketua Bahagian PBS Inanam turut berterima kasih kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Masyarakat Karim Rahim, serta turut mendapat keprihatinan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Mohd Joh Wid, dan Pemangku Ketua Bahagian UMNO Sepanggar Datuk Yaakub Khan, kerana terlibat sama dalam mengatasi masalah kekurangan air bersih di kawasan ini.

Antara kampung-kampung yang terlibat mengalami kekurangan bekalan air bersih ialah Kionsom, Kobuni, Tamalang Silou, Tatahan/Tampasak, Pangasaan, Bantayan, Minintod, Sinagang, Naalap, Sinompuru, Keliangau, Peniang, Binaung, Kolam Air, Pomotodon, Dambai, SK Kionsom, Kiapad, Kawakaan, Kironggu, Kitobu, Sukang Mabpai, Kokol, Kominokod, Malawa, Tenggiling, Mansiang, Harapan, Kayu Madang dan Boronuon.