17
Isn, Dis

Tawfiq: Jambori Pengakap Antarabangsa Platform Pupuk Perpaduan

Sabah
Typography

TAWAU - Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan menyifatkan Jambori Pengakap Antarabangsa sebagai platform terbaik memupuk semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional kalangan generasi muda.

Menurutnya, program itu dapat menemukan pelbagai bangsa, etnik dan budaya sekaligus menguatkan diri mereka yang menyertainya dari segi ketahanan fizikal, mental dan kerohanian menghadapi masa depan.

“Peserta dapat menyelami erti perpaduan, menghormati antara kaum, menanam rasa cinta kepada negara dan sanggup membantu mempertahan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan di Kompleks Sukan Tawau.

Katanya, jambori anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Sabah yang diterajui Pengakap Daerah Tawau itu menunjukkan penyertaan yang memberangsangkan apabila meningkat setiap tahun dengan penyertaan kali ini seramai 2500 peserta.

“Jambori kali ini bukan sahaja disertai kontinjen negeri-negeri di Malaysia malah terdapat penyertaan dari negara jiran Indonesia dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan yang mampu membina jati diri para peserta yang berwibawa dan berdaya saing,” katanya.

Sehubungan itu beliau yang juga wakil rakyat Apas berharap peserta terus memiliki semangat juang kental dan membina sahsiah diri mantap serta memperkukuh semangat berpasukan ke arah menjadi warganegara yang lebih bersopan dan berdisiplin.

Tawfiq berkata kementeriannya akan terus memberi sokongan dalam semua agenda pengakap ke arah memaju dan memartabatkan lagi khasnya Pengakap Negeri Sabah.

 

NEW SABAH TMES

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.