25
Sel, Sep

Kesedaran Perlu Terhadap Profesion Kerja Sosial Dalam Masyarakat

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Kesedaran terhadap kepentingan profesion kerja sosial adalah perlu bagi mendedahkan fungsi dan tanggungjawab pekerja sosial dalam masyarakat.

Timbalan Dekan, Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Dahlan Malek berkata kerja sosial merupakan satu profesion melibatkan perkhidmatan berfokus kepada menangani masalah, peningkatan kefungsian sosial dan menggalakkan pencapaian taraf kehidupan berkualiti.

"Kerja sosial juga amat penting dalam membekalkan perkhidmatan profesional yang berteraskan pengetahuan kerja sosial, nilai dan prinsip kerja sosial, etika profesion dan intervensi holistik," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia 2016 peringkat UMS di sini Rabu.

Sambutan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini diadakan antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap profesion itu sekaligus menghargai pekerja sosial khususnya dalam kalangan mahasiswa.

Dahlan berkata pelbagai aktiviti menarik yang mengetengahkan peranan pekerja sosial disediakan UMS sepanjang penganjuran program itu.

Beliau mengajak semua pelajar UMS untuk mengambil peluang dan kesempatan ini untuk mengikuti program dianjurkan dengan menerapkan semangat meningkatkan diri dan disiplin sebagaimana ciri dituntut seorang pekerja sosial profesional

BERNAMA