23
Ahd, Jul

Projek Pengagihan Gas Fasa 3 KKIP Dilancarkan

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Projek Pengagihan Gas Fasa Ketiga oleh Sabah Energey Corporation (SEC) Sdn Bhd di Taman Perindustrian telah dilancarkan (KKIP) dekat sini, semalam.

 

Projek tersebut merupakan jalinan usahasama antara SEC Sdn Bhd dan rakan kongsi berpangkalan di China, Zhangjiagang Furui Special Equipment Co. Ltd (FURUISE).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata Kerajaan Negeri mengalu- alukan kerjasama antara SEC Sdn Bhd dan FURUISE atas penubuhan SEC Gas Sdn Bhd untuk melaksanakan projek tersebut di Sabah.

“Kerajaan Negeri ingin melihat lebih banyak perkongsian pintar antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta supaya dapat meningkatkan pembangunan ekonomi Sabah.

“Ini bertepatan dengan agenda pembangunan negeri yang sedang mengalami pertumbuhan dalam pelbagai sektor seperti Halatuju, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP),” katanya.

Musa berkata SEC memainkan peranan yang penting dalam membangunkan tenaga dan rangkaian bekalan semula jadi di Sabah, dengan melaksanakan pembinaan dan pengoperasian projek tersebut.

“Saya dimaklumkan bahawa kilang ini akan menjadi kilang yang pertama menukar gas skala mikro kepada cecair di Malaysia.

“Saya gembira SEC telah mengambil inisiatif ini untuk membuat pembaharuan, bukan sahaja membawa teknologi baru di Sabah, tetapi juga mengembangkan manfaat gas kepada spektrum yang lebih luas untuk pengguna gas,” katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEC Sdn Bhd, Dato’ Harun Ismail berkata pihaknya telah melakukan penyelidikan meluas agar gas asli itu dapat diagihkan kepada pengguna-pengguna di kawasan luar bandar seperti Ranau, Keningau dan Kota Belud.

“Syarikat Usahasama, SEC Gas Sdn Bhd ditubuhkan bagi membina fasiliti di KKIP untuk menukar gas asli dari bentuk gas kepada cecair.

“Gas asli berbentuk cecair itu akan dimasukan dan diagihkan dalam tangki kepada pelanggan- pelanggan yang memerlukan.

“Tangki simpanan gas asli cecair yang terdapat di premis pelanggan padat dan sesuai bagi pengguna yang memerlukannya dalam jumlah yang sedikit…selain itu, gas cecair juga boleh diangkut pada jarak yang jauh ,” katanya.

Menurut Presiden FURUISE, Wu Pin Fang, projek itu mampu memberi impak positif kepada economy negara dan masyarakat setempat di negeri ini pada masa akan datang.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Menteri Pembangunan Industri, Datuk Bolkiah Ismail, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Konsul General China, Chen Peijie dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Datuk Hashim Paijan.

 

SAYANG SABAH