24
Sab, Jun

SESB Sedang Laksana Kerja Penukaran Meter Usang Di Seluruh Sabah, Labuan

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini sedang melaksanakan kerja-kerja penukaran meter usang secara berperingkat di premis pelanggan di seluruh Sabah dan Labuan.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat SESB Chenderamata Sinteh berkata ketika kerja berkenaan dilaksanakan, bekalan elektrik ke premis pelanggan akan terganggu untuk tempoh 5 hingga 10 minit.

"Penukaran meter elektromekanikal kepada jangka elektronik ini dilaksanakan menerusi program 'Op Usang' melibatkan meter (1 Fasa dan 3 Fasa) yang berusia lebih 15 tahun bermula September tahun lepas dan ia dilanjutkan hingga selesai.

"Pertukaran ini dibuat bagi memastikan setiap penggunaan tenaga di premis pengguna dapat direkodkan dengan lebih tepat dan jitu, kerana meter usang merekodkan bacaan yang kurang tepat," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata kos pemasangan bagi menggantikan meter usang di premis pelanggan ditanggung oleh SESB tanpa mengenakan sebarang caj kepada pelanggan dan penggantian meter akan dijalankan mengikut janji temu pelanggan.

"Kerja-kerja penggantian meter ini akan dilaksanakan anggota kerja SESB dengan memakai pakaian seragam lengkap dan membawa kad pengenalan kerja SESB," katanya.

Chenderamata berkata orang ramai boleh menghubungi talian 15454 untuk sebarang pertanyaan serta maklumat lanjut.

BERNAMA