24
Jum, Nov

ADUN Sabah Diminta Bangunkan Industri Sesuai Potensi Kawasan

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu setiap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengenal pasti kawasan yang bersesuaian  serta kelebihan di kawasan masing-masing untuk dibangunkan dengan industri yang berpotensi.

Musa berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap pembangunan industri yang dirancang dapat direalisasikan seterusnya memberi manfaat dan pulangan ekonomi kepada negeri dan rakyat setempat.

Menurutnya, pemilihan industri tepat dan sesuai adalah perlu kerana usaha membangunkan industri akan melibatkan pelaburan dan peruntukan yang tinggi.

"Kita (kerajaan negeri) memang merancang, ada tempat sesuai untuk industri minyak dan gas; ada tempat sesuai untuk pembangunan pertanian dan ada yang sesuai untuk pelancongan.

"Terpulang kepada wakil rakyat mencari (industri) sesuai (dibangunkan) di tempat mereka, yang penting ia mesti memberi terbaik kepada rakyat. Jangan buat projek (industri) yang tidak sesuai," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi pandangan pada soalan tambahan Limus Jury (BN-Kuala Penyu) kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri Datuk Bolkiah Ismail mengenai pelaburan industri di Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip).

Musa turut mencadangkan kepada Limus selaku ADUN Kuala Penyu untuk mengenal pasti potensi industri pelancongan di kawasannya memandangkan kawasan itu terkenal sebagai sebuah daerah yang memiliki pantai cantik dan pasir putih.

"Kuala Penyu dikenali sebagai tempat yang indah dengan pantai cantik dan pasir putih. Kalau cerita pasal industri (minyak dan gas) ia tidak sesuai.

"Jika cakap pasal minyak dan gas pergi Sipitang sebab kita sudah ada infra di sana. Orang datang melabur di sana, tiada masalah," katanya.

 

BERNAMA