12
Sel, Dis

Jabatan, Agensi Persekutuan Di Sabah Diminta Kibar Jalur Gemilang

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Semua jabatan dan agensi kerajaan di Sabah diminta supaya mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan bagi menyemai rasa cinta kepada bangsa dan negara selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Negaraku Sehati Sejiwa.

Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani berkata anggota jabatan dan agensi berkenaan perlu mengibar Jalur Gemilang dengan rasa bangga sebagai tanda sokongan kepada Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dilancar 1 Ogos lepas.

"Marilah kita semua bersama-sama menjadikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih bermakna dengan menikmati pembangunan sedia ada dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi, sosial dan lain-lain berasaskan permuafakan yang progresif," katanya.

Nor Rizan berkata demikian ketika berucap pada majlis Kempen Kibar Jalur Gemilang di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah anjuran Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan Jabatan Penerangan Sabah di sini, semalam.           

Pada majlis itu, Nor Rizan turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada 26 jabatan dan agensi kerajaan.

 

BERNAMA