24
Jum, Nov

ESSCOM Sentiasa Adakan Operasi Pantau, Jalankan Risikan

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Pihak keselamatan negara ini terutamanya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sentiasa mengadakan operasi memantau dan menjalankan risikan bagi menghalang aktiviti jenayah rentas sempadan.

 

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pihak keselamatan negara sentiasa mendapat kerjasama yang baik dari segi risikan antara ketiga-tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Kita juga bekerjasama dan memberitahu pihak berkuasa negara Filipina, mana-mana penjenayah atau individu yang dikehendaki di negara mereka.

“Tetapi kita tidak hebahkan dalam suratkhabar kerana ia mungkin berkaitan dengan keselamatan, berbentuk risikan dan tidak perlu beritahu apa yang berlaku, tetapi memang banyak yang berlaku seperti tangkapan dan tembakan orang yang dikehendaki atau penjenayah.

“Kita mendapat kerjasama bukan sahaja dari Filipina tetapi juga Indonesia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, pada seisi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.

Adun Bingkor bertanya apa tindakan pihak keselamatan untuk menangani penjenayah warga asing yang ada di negeri ini, menjaga sempadan negara daripada dicerobohi penjenayah dan adakah aktiviti perniagaan berasaskan sistem barter di negeri ini dibenarkan semula.

Mengenai perniagaan sistem barter (pertukaran barang) di perairan Sabah dan Selatan Filipina, Musa berkata, ia telahpun dihentikan bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk menyeludup barangan dan jenayah rentas sempadan.

“Perniagaan itu memang kita (kerajaan) sudah hentikan, kita tegas dalam hal ini dan kita juga periksa dan memantau setiap kapal yang keluar masuk di perairan negara kita,” katanya.

Beliau berkata, pihak keselamatan mengadakan operasi setiap hari dan melakukan tangkapan.

“Pusat tahanan kita sentiasa penuh. Kita meminta pihak Filipina supaya mengambil cepat balik rakyat negara itu yang kita mahu hantar balik ke negara asal mereka,” katanya.

 

NEW SABAH TIMES