12
Sel, Dis

The Thirdforce Lebarkan Sayap Ke Labuan

Sabah
Typography

LABUAN - Badan Bukan Kerajaan (NGO) The Thirdforce mengembangkan sayapnya ke Labuan bagi memperluaskan lagi usaha untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan disamping mengajak lebih ramai masyarakat untuk beramal dan menjadi lebih budiman.

 

Majlis pelancaran The Thirdforce cawangan Wilayah Persekutuan Labuan telah disempurnakan oleh Pengasas badan sukarelawan itu yang juga seorang pakar motivasi, Dr. Raja Shamri Raja Husin di Balai Raya Kampung Batu Manikar, di sini.

Hadir sama, Ketua The Thirdforce cawangan Labuan, Rezal Abdullah; Ketua Kampung Batu Manikar, Ismail Samad dan Imam Masjid Perumahan Rumah Murah Kampung Batu Arang, Ustaz Majali Musram serta kira-kira 50 ahli sukarelawan The Thirdforce.

Raja Shamri berkata, The Thirdforce (THIRDFORCE) adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang bukan sahaja sebuah organisasi untuk membantu golongan susah tetapi merupakan satu gelombang mengajak orang ramai melakukan amal baik.

“Objektif awal penubuhan Thirdforce adalah untuk membantu mangsa banjir ‘Bah Kuning’ di Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada tahun 2014, namun selepas banjir itu, gerakan tersebut diteruskan dengan mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu golongan asnaf dan yang memerlukan bantuan” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Thirdforce cawangan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Rizal Abdullah berkata, objektif utama pelancaran Thirdforce di Wilayah Persekutuan Labuan adalah untuk membudayakan budaya tolong menolong di kalangan masyarakat di pulau ini disamping membantu kerajaan dalam misi kemanusian.

Pada majlis itu seramai 20 golongan asnaf turut menerima bantuan berupa barangan keperluan harian yang disampaikan oleh Raja Shamri dan Mohd. Rizal.

 

NEW SABAH TIMES