12
Sel, Dis

Kastam Sabah Tanam Kapsul Masa Catat Aspirasi 2037

Sabah
Typography

BANTUL, SABAH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menanam kapsul masa di Pos Kawalan Jabatan Diraja Malaysia Bantul yang mengandungi aspirasi Bantul untuk menjadi bandar sempadan menjelang tahun 2037.

Pengarah Kastam Sabah Datuk Dr Janathan Kandok menanam kapsul masa berkenaan semalam di pos kawalan sempadan Sabah dan Kalimantan Utara iaitu kira-kira dua kilometer dari bandar Labang di Kalimantan  Utara.

Program menanam kapsul masa berkenaan merupakan satu catatan sejarah bagi negeri Sabah yang mempunyai pandangan jauh untuk memajukan kawasan perbatasan antara Sabah dan Kalimantan Utara.

"Apa yang kita rancangkan untuk Bantul ini ialah untuk membangun sebuah pusat perniagaan yang tersohor dalam tempoh 20 tahun akan datang," kata Janathan selepas menanam kapsul itu. 

Turut hadir pada program berkenaan ialah  ketiga-tiga Timbalan Pengarah Kastam Sabah, Mohd Sahrin Mohd Dom, Mohd Idris Shahrom  dan Madrim Tasam; Penolong Pegawai Daerah Pagalungan Aloysius Anthony, Ketua Kastam Daerah Keningau Nasip Usop dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Nabawan (CDO) Brahim Andipo.

Perjalanan ke Bantul melalui perjalanan darat mengambil masa enam jam sebelum menyusuri Sungai Pensiangan melalui celah-celah batu dan jeram dengan menaiki perahu berenjin kuasa kuda 40 selama dua jam.

Sungai Pensiangan merupakan laluan pengangkutan utama untuk aktiviti perdagangan penduduk sempadan kedua-dua negara, justeru Bantul dan Labang di Indonesia berpotensi besar untuk menjadi bandar sempadan yang maju di masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Janathan berkata masih banyak syarikat di Sabah mengingkari pematuhan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan tidak menghantar penyata pada waktu yang telah dijadualkan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang dengan sengaja memberi pelbagai alasan untuk melengah-lengahkan penghantaran penyata GST pada waktu yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata semua peniaga di negeri ini telah diberi surat pekeliling agar mengembalikan penyata GST dan syarikat yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan kompaun.

BERNAMA