17
Sel, Okt

Isu Keselamatan Tidak Jejas Industri Hartanah Sabah

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah hari ini memberi jaminan bahawa industri hartanah negeri itu tidak akan terjejas dengan isu keselamatan yang dijangka terus menjadi tumpuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata sebagaimana dibuktikan sebelum ini, perkembangan negatif sedemikian tidak menjejaskan negeri berkenaan secara ketara, termasuk sektor pelancongan.

"Sektor hartanah Sabah, termasuk rangkaian pembangunan sumber manusia dan rantaian bekalan berkaitan merupakan komponen utama dalam agenda transformasi ekonomi.

"Industri itu turut mendapat manfaat daripada agenda 'Halatuju' atau program Pembangunan Halatuju yang diperkenalkan lebih sedekad lepas yang memberi tumpuan terhadap pelancongan, pertanian dan pembuatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anjuran Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor.

Dalam pada itu, Musa turut menyambut baik sumbangan dan kerjasama SHAREDA dengan kerajaan negeri dalam pelbagai program pembangunan termasuk infrastruktur dan rantaian bekalan serta perkhidmatan pembangunan komuniti.

"SHAREDA telah memainkan peranan penting bagi mempertingkatkan pasaran hartanah Sabah, seiring dengan wawasan kerajaan untuk merancakkan inisiatif pihak swasta secara lebih ketara yang dapat merangsang keyakinan pelabur," katanya.

Beliau juga menyifatkan sumbangan SHAREDA sebagai tepat pada masanya ketika Sabah mencatat pertumbuhan positif menerusi aliran pelaburan, peningkatan kerjasama ekonomi dan hubungan dagangan, pertambahan momentum projek, pempelbagaian ekonomi secara berperingkat serta minat ketara ditunjukkan oleh para pelabur asing.

 

BERNAMA