13
Rab, Dis

Perintah Berkurung Di ESSZONE Dilanjut Hingga 26 Ogos

Sabah
Typography

KOTA KINABALU -Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini dilanjutkan hingga 26 Ogos ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

 

Beliau berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Sehubungan itu, Ramli berkata dengan pelanjutan yang bermula esok itu, semua penduduk di kawasan terlibat diminta supaya berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan antara 6 petang hingga 6 pagi.

“Keperluan perintah berkurung diteruskan adalah untuk memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong yang melawat pulau-pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Berdasarkan siasatan, katanya, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Ramli berkata perintah berkurung itu juga diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta yang berada di kawasan daratan ESSZone.

Menurutnya, perintah berkurung itu turut memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal pasukan keselamatan di kawasan sekitar mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah terlibat untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak melalui kawasan perintah berkurung,” tambahnya.

 

BERNAMA