20
Jum, Okt

Insentif Khas KBBS Untuk Juara Remaja Dunia Muay Thai

Sabah
Typography

TAWAU - Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) akan memberikan insentif khas kepada Daniel Fiedieans Maideh selepas dinobatkan Juara Remaja Dunia Muay Thai 2017 pada Selasa lalu di Bangkok, Thailand, kata Menterinya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata insentif berupa wang tunai itu akan diberikan kepada atlet sukan berusia 12 tahun berkenaan namun nilai insentif belum ditentukan.

"Bagi pihak KBSS, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada adik Daniel atau Olan yang berasal dari Tawau yang telah memenangi pingat emas di Kejohanan 2017 International Federation of Muaythai Amateur ( IFMA ) Youth World Championship yang diadakan di Bangkok,Thailand," katanya.

Menurut Tawfiq selain insentif khas itu sebanyak RM1,000 turut diberikan kepada setiap atlet Sabah yang terpilih untuk mewakili negara di kejohanan antarabangsa yang diiktiraf.

Sementara itu, katanya setiap tahun kerajaan negeri melalui KBSS menyediakan peruntukan bagi pembangunan sukan di negeri ini.

"Untuk tahun ini, KBSS turut memberi bantuan kewangan bernilai RM37,000 kepada Persatuan Muay Thai Sabah sebagai tanda menyokong usaha mereka membangunkan atlet muda dalam seni mempertahankan diri itu sekali gus dapat melahirkan juara dunia seperti Daniel," katanya lagi.

Semalam dilaporkan, Daniel atau Olan yang berasal dari Kampung Tanjong Batu Tengah dan bersekolah di tahun enam Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu Keramat di sini, dinobatkan sebagai Juara Remaja Dunia Muay Thai 2017 selepas mengetepikan lawannya dari Uzbekistan dalam pertarungan tiga pusingan 10-9, 10-9, 10-9 perlawanan akhir bagi kategori lelaki 12-13 tahun itu pada Selasa di Bangkok, Thailand.

Daniel  yang pada mulanya tidak dianggap sebagai calon menang ekoran susuk tubuhnya yang kecil berbanding lawan yang lain dari pelbagai negara, namun semangat kental dan doa membukti beliau mampu meraih gelaran tersebut.

Kejayaan Daniel itu sekali gus menambah koleksi pingat emasnya yang turut muncul juara Kejohanan Remaja Muay Thai Kebangsaan di Damansara Utama, Kuala Lumpur pada 6 hingga 9 Julai lalu.

BERNAMA