17
Kha, Ogs

Jabatan Imigresen Bertindak Tegas Terhadap Pendatang Asing

Sabah
Typography

LABUAN - Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Dato’ Seri Mustafar Haji Ali berkata, Jabatan Imigresen Malaysia akan bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pendatang asing termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen sah dan menyalahgunakan pas masuk ke negara ini.

 

Beliau berkata, pemantauan ketat juga telah dilakukan di 137 pintu masuk di seluruh negara bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pengganas.

Menurutnya, Jabatan Imigresen telah mengenal pasti beberapa lorong tikus yang digunakan sebagai laluan masuk pendatang asing ke negara ini.

“Kita berharap, Akta Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM), yang baru sahaja diluluskan akan dapat meningkatkan keberkesanan dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang mengenai kemasukan pendatang asing tanpa izin ke nagara ini dan jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan majikan yang cuba melindungi pendatang tanpa izin” katanya pada sidang media selepas menyaksikan upacara lafaz Ikrar Bebas Rasuah, Jabatan Imigresen Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, di Bilik Mesyuarat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Ujana Kewangan, di sini baru-baru ini.

Menyentuh mengenai kegiatan rasuah di kalangan anggota Jabatan Imigresen, beliau berkata terdapat penurunan ketara hasil daripada pelaksanaan program pengukuhan integriti dikalangan anggota Imigresen di seluruh negara. Penurunan itu juga katanya, berikutan kesedaran tentang pentingnya keutuhan dan laporan anggota jabatan itu sendiri tentang unsur rasuah yang melibatkan pemberi dan penerima.

Jelasnya, sejak beliau memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah Imigresen setahun lalu terdapat 27 kes lama yang melibatkan anggota Imigresen yang disiasat polis dan telahpun diambil tindakan.

“Namun sejak kebalakangan ini, saya dapat melihat ia sudah menurun atas kesedaran warga jabatan yang mengutamakan integriti dengan menolak rasuah, malah pemberi rasuah telah diambil tindakan tegas termasuk mendakwanya di mahkamah” katanya.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Imigresen akan terus memantau mengenai Prosedur Operasi Standart (SOP) agar dapat ditambah baik sejajar dengan keperluan semasa.

Hadir sama pada majlis itu, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, Abdulamin Haji Abdillah dan Pengarah Jabatan Imigrsen Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan.

 

NEW SABAH TIMES