25
Isn, Sep

Aksi Kawad Senyap Antara Tarikan Sambutan Hari Kebangsaan 2017

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Aksi kawad senyap atau Tim Precision Drill antara persembahan yang bakal menarik perhatian penonton sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2017, pada 31 Ogos ini.

 

Ketua Jurulatih, Bintara Muda P.A.P Mohd. Zulkani Maslin, 41, berasal dari Kampung Payas-payas, Kota Belud berkata aksi tersebut bakal dipersembahkan oleh 34 anggota menggunakan senjata M16 A1seberat 3.5 kilogram beserta Bayonet yang telah dikromkan.

Beliau yang telah berkhidmat selama 20 tahun dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberitahu aksi berdurasi 15 minit itu dilakukan oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) yang berpangkalan di KD Sri Tawau.

“Untuk sambutan 31 Ogos ini, kita membuat persiapan sejak sebulan lepas bagi memastikan persembahan tersebut berlangsung dengan sempurna.

“Mereka terdiri daripada anak-anak watan Sabah yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan usahawan bumiputera.

“Melalui pendedahan ini, kita berharap dapat menarik minat golongan belia untuk menyertai dan menceburkan diri dalam bidang ketenteraan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Raptai Akhir Sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Bandaraya, dekat sini baru-baru ini.

Turut dijangka mencuri tumpuan adalah persembahan puisi khas bertajuk ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ dan persembahan khas selama 10 minit daripada penari Lembaga Kebudayaan Sabah, selain perbarisan serta perarakan 203 kontinjen yang menyertai Acara Berjalan Lalu.

Hadir pada raptai akhir tersebut adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Setiausaha Tetap Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ginun Yangus; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, Panglima Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat dan Pengarah Penerangan Sabah, Swady Guliling.

NEW SABAH TIMES