24
Jum, Nov

Kertas Kabinet Naik Taraf Status Perlindungan Tenggiling

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar Sabah sedang menyediakan kertas Kabinet berhubung usaha menaik taraf status perlindungan tenggiling di negeri ini sebagai spesies dilindungi sepenuhnya.

 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan negeri mahu undang-undang lebih ketat itu memberi mesej kepada orang ramai untuk bersama-sama memelihara hidupan liar.

Beliau berkata kerajaan negeri amat serius dalam menangani masalah pemburu haram dan penyeludupan hidupan liar serta menaik taraf status perlindungan spesies terbabit.

“Jabatan Hidupan Liar Sabah sedang menyediakan kertas Kabinet bagi mendapat kelulusan Kabinet berhubung isu ini secepat mungkin. Sudah tentu, saya mengharapkan undang-undang lebih kukuh bagi memberi mesej kuat kepada orang ramai untuk bersama-sama memelihara hidupan liar,” katanya ketika diminta mengulas isu penyeludupan tenggiling di Sabah di sini, kelmarin.

Pada masa ini, tenggiling disenarai di Bahagian Satu Jadual Dua, Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997, bermaksud boleh diburu dengan lesen.

Pada 29 Julai lepas, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah telah merampas 8,000 sisik tenggiling bernilai RM100 juta yang disimpan di dalam 226 guni di Pelabuhan Sepanggar, yang dipercayai untuk dieksport ke China. Berdasarkan berat sisik tenggiling berkenaan, ia dipercayai diperoleh daripada 16,000 ekor tenggiling tetapi asal sisik tenggiling berkenaan belum dikenal pasti.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam berkata suspek berumur 43 tahun disyaki terlibat aktiviti penyeludupan itu akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Masidi berharap Jabatan Hidupan Liar Sabah melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes itu dan mengenakan tindakan tegas kepada individu terlibat.

 

BERNAMA