24
Jum, Nov

Maswings Hiasi Pesawat Dengan Jalur Gemilang

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Maswings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, hari ini mempamerkan semangat 'Negaraku' pada pesawat jenis tubo-prop ATR 72-500nya bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Pesawat berkenaan, yang dihiasi lukisan Jalur Gemilang, akan terbang dengan megah di ruang udara Sabah dan Sarawak.

Majlis pelancaran lambang 'Negaraku' yang menghiasi pesawat syarikat itu disaksikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Maswings Aminuddin Zakaria.

Dalam teks ucapan beliau yang dibacakan Masidi, Musa berkata usaha Maswings itu akan membantu menyemarakkan lagi semangat kebangsaan serta membawa bersamanya intipati keunikan nilai Malaysia di seluruh wilayah  ini.

"Hari ini terukir satu sejarah penting bagi Maswings, syarikat penerbangan untuk rakyat Sabah dan Sarawak, apabila sebuah pesawatnya dihiasi lukisan yang melambangkan semangat 'Negaraku'.

"Sebagai syarikat penerbangan yang beroperasi di Sabah, kami sentiasa menyokong usaha yang dilakukan Maswings bagi meningkatkan ketersambungan udara dan mengeratkan lagi perpaduan rakyat Malaysia, terutama melalui semangat 'Negaraku'.

"Saya difahamkan bahawa langkah menghiasi pesawat ATR MASwings dengan lukisan yang melambangkan semangat 'Negaraku' ini adalah sebahagian daripada inisiatif Maswings untuk mempamerkan semangat kebersamaan dengan negara kita yang tercinta, Malaysia, dalam menyambut Hari Kebangsaan nanti," katanya.

BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.