25
Isn, Sep

Kepelbagaian Kaum Adalah Aset Penting Negeri Sabah

Sabah
Typography

TENOM - Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Radin Malleh berkata, kepelbagaian kaum di negeri Sabah merupakan aset penting dan sumber kakuatan Negeri Di Bawah Bayu bagi mengharungi cabaran pembangunan masa kini.

Bagaimanapun katanya, kepelbagaian itu perlu diurus dengan baik kerana ada negara lain di dunia ini memiliki rakyat majmuk serta anutan pelbagai agama seperti Malaysia namun perpaduan rakyatnya tidak dapat dipertahankan kerana mereka gagal menguruskan konflik.

"Kita tidak izinkan masalah (konflik) seperti ini berlaku di negara tercinta ini," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2017 di Tenom semalam.

Justeru kata Radin, rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan kepercayaan harus diurus dengan baik  untuk kestabilan dan kemakmuran negara ini.

Sementara itu, Radin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Melalap berkata, rakyat di negeri ini perlu menghargai perjuangan pemimpin-pemimpin negara terdahulu yang menjadikan negara ini mencapai kemerdekaan.

"Perjuangan mereka wajar kita junjung dan kepada generasi baharu, pengorbanan pemimpin terdahulu yang menjadikan amalan kesederhanaan dan perkongsian kuasa sebagai teras kepimpinan negara harus dipelihara," katanya.

Turut hadir ialah Anggota Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, Anggota Dewan Negara Datuk Dr Lucas Umbol, Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

 

BERNAMA