25
Isn, Sep

RM4 Juta Projek Pembangunan Dibawa Ke Sebatik

Sabah
Typography

TAWAU - Kerajaan negeri Sabah telah membawa pelbagai projek pembangunan di Pulau Sebatik dengan nilai peruntukan projek mencecah sehingga RM4 juta bagi tujuh bulan pertama tahun ini, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Sebatik Datuk Abdul Muis Picho.

Katanya, antara projek pembangunan itu termasuk menaik taraf jalan pertanian, jalan kampung serta sistem perparitan yang sekali gus memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk dari 15 kampung di pulau berkenaan.

"Selaku wakil rakyat, saya juga sentiasa turun padang ke Pulau Sebatik bagi meninjau permasalahan rakyat, iaitu sekurang-kurangnya tiga kali seminggu atau lebih 80 kali dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan seorang individu di Kampung Mentadak, Pulau Sebatik yang meletakkan satu papan tanda yang mengandungi pelbagai dakwaan negatif ke atas dirinya, yang kemudiannya tular di media sosial.

Dalam pada itu Abdul Muis berkata masyarakat jangan mudah terpedaya  dengan hasutan individu yang cuba mencemar imej kepimpinan DUN Sebatik, yang lebih bermotifkan kepada kepentingan peribadi.

"Dakwaan individu ini tidak berasas kerana kalau saya tidak turun padang bagaimana saya  boleh tahu masalah dan keperluan penduduK Sebatik dan pembinaan pelbagai projek ini bukti saya dekat dengan rakyat," katanya lagi.

Pada sidang media itu 36 pemimpin akar umbi dari Pulau Sebatik terdiri daripada ketua-ketua cawangan UMNO , pengerusi-pengerusi  jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan ketua-ketua kampung turut hadir menyatakan sokongan mereka ke atas kepimpinan Muis menerajui DUN Sebatik.

Kesemua pemimpin akar umbi yang hadir itu turut menasihatkan  masyarakat supaya menolak dakwaan tidak berasas yang disebarkan, sebaliknya menyokong penuh kepimpinan sedia ada agar lebih banyak projek-projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan di negeri ini.

 

 BERNAMA