25
Isn, Sep

Kes Denggi Di Labuan Meningkat

Sabah
Typography

LABUAN - Bilangan kes denggi di sini meningkat kepada 53 kes sejak Januari lalu namun tiada kematian dilaporkan setakat ini, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni  Bohari hari ini.

Beliau berkata sekurang-kurangnya lima kes dilaporkan minggu pertama bulan ini melibatkan perkampungan air Kampung Patau-Patau (3 kes)  dan Kampung Layang-Layang (2 kes).

"Kami sedang memantau situasi sebelum mengisytiharkan kampung terbabit sebagai kawasan wabak," katanya pada sidang media selepas Latihan Simulasi Kesihatan di Lapangan mengenai Rabies bagi Borneo Utara, di sini semalam. 

Beliau menggesa semua pihak, terutama pemilik kediaman agar memainkan peranan masing-masing bagi mencegah peningkatan kes denggi dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan aedes.

"Sekalipun diadakan kempen kesedaran dan pendidikan serta gotong-royong, masih ada kawasan yang menjadi tempat pembiakan aedes, terutama di perkampungan pelarian di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian iaitu Kampung Muslim Laut. 

"Sehubungan itu, kami tiada pilihan kecuali menguatkuasakan sepenuhnya Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan mengadakan operasi  dalam masa terdekat," katanya

Labuan mencatatkan 13 kes denggi sepanjang tahun lepas berbanding hanya tiga kes pada 2015.

 

BERNAMA