25
Sab, Nov

Jawatankuasa Khas Kenal Pasti Taman Marin Di Sabah

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengenal pasti kawasan perairan dan pulau di negeri ini yang boleh diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan taman marin.      

Menterinya Datuk Masidi Manjun berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan  minggu lepas itu antara lain berperanan untuk mencapai sasaran kerajaan negeri untuk mewartakan 10 peratus daripada kawasan perairan di Sabah sebagai taman marin menjelang tahun 2020.

"Jawatankuasa khas ini yang dipengerusikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Pang Yuk Ming akan mempertimbangkan beberapa lokasi baharu di kawasan perairan yang boleh diwartakan sebagai taman marin.

"Komitmen itu (mewartakan taman marin) juga seiring dengan hasrat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu kerajaan negeri komited dalam memulihara hidupan marin di seluruh negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Keselamatan Persekitaran Maritim di sini, baru-baru ini.

 Masidi berkata setakat ini taman marin di Sabah meliputi keluasan 200 juta hektar iaitu 7.4 peratus daripada kawasan perairan negeri terdiri daripada Taman Marin Mustapha, Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Marin Tunku Abdul Rahman.

Mengulas mengenai bengkel anjuran US Pacific Command (USPACOM), dengan kerjasama kerajaan negeri itu, Masidi berkata bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini antara lain membincangkan mengenai dasar-dasar perlindungan alam sekitar marin di Sabah.

Saya berharap bengkel ini akan memberi manfaat yang sangat besar untuk kita menghadapi isu alam sekitar marin di Sabah.

"Melalui bangkel ini kita juga berharap dapat mempelajari teknologi dan idea baru terutamanya mengenai perubahan iklim dan kesannya terhadap habitat marin serta kehidupan dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini," katanya.

BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.