25
Sab, Nov

Pantun Antara Tiga Seni Budaya Diangkat Ke UNESCO

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Pantun merupakan antara tiga seni budaya masyarakat setempat yang telah diangkat sebagai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk diiktiraf sebagai warisan dunia.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) berkata dua lagi seni budaya yang telah diangkat bagi pengiktirafan UNESCO ialah Dondang Sayang dan Pesta Wangkang.

Menurutnya, pencalonan bagi pantun dibuat secara bersama dengan kerajaan Indonesia.

"Pencalonan telah dihantar pada 31 Mac lepas ke UNESCO. Sekarang kami (SKUM) masih menunggu pihak jawatankuasa penilaian UNESCO untuk bertemu dengan kami berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat SKUM ke-39 di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad selaku Naib Presiden SKUM.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata SKUM juga berpendapat kawasan hutan simpan di Sabah iaitu Lembah Danum dan Maliau Basin layak diangkat sebagai tapak warisan dunia memandangkan kedua-dua kawasan tersebut adalah hutan dara.

Beliau berkata dokumentasi berkaitan hutan berkenaan akan disediakan oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.