11
Isn, Dis

Taman-taman Sabah, WWW-Malaysia Lindungi Taman Tun Mustapha

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Taman-Taman Sabah dan Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menguruskan usaha melindungi dan memulihara kawasan perlindungan marin Taman Tun Mustapha di utara Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata MoU itu meliputi pembangunan dan pelaksanaan konsep, mekanisme pengurusan taman itu, sistem pemantauan  serta penguatkuasaan secara kolaboratif.

"Taman Tun Mustapha adalah taman marin yang mengamalkan konsep taman terbuka di bawah kategori keenam Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa (IUCN) yang membenarkan aktiviti-aktiviti seperti penangkapan ikan secara terkawal dan beberapa aktiviti lain diadakan.

"Pengurusan Taman Tun Mustapha juga bersifat pengurusan bersama dan mengutamakan penglibatan masyarakat setempat," katanya pada majlis menandatangani MoU itu di sini.

Masidi berkata Taman Tun Mustapha yang berkeluasan hampir sejuta hektar itu diwartakan sebagai taman kesembilan di bawah Taman-Taman Sabah pada 19 Mei tahun lepas selepas 13 tahun cadangan untuk mewartakannya diluluskan oleh kabinet negeri.

Pewartaan itu juga menjadikan Taman Tun Mustapha sebagai taman marin terbesar di Sabah, sekali gus di Malaysia, dengan lebih 50 pulau.

"Sejak itu (2003), Taman-Taman Sabah dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah berkaitan, Jabatan Perikanan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan WWF-Malaysia telah melaksanakan pelbagai program untuk mewartakan taman ini.

"Hasil pencapaian ini (pewartaan) jelas membuktikan sokongan kuat kerajaan negeri dalam menjaga dan memulihara alam sekitar di Sabah," katanya.

BERNAMA