17
Sel, Okt

Tawau Berpotensi Tinggi Dalam Pelancongan

Sabah
Typography

TAWAU - Daerah Tawau yang terkenal dengan pelbagai tarikan berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan selain daerah Semporna kata Datuk Syed Abas Syed Ali.

 

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata, Tawau mempunyai potensi tinggi dalam pelancongan tetapi belum diterokai sepenuhnya, dan meminta agensi pelancongan mempromosi daerah ini kepada pelancong dari luar negara dan bekerjasama dengan pusat peranginan yang ada di Tawau.

Katanya, kepelbagaian flora dan fauna di daerah ini juga perlu dimajukan untuk dijadikan sebagai satu tarikan khususnya kepada pelancong berkumpulan.

“Untuk memajukan industri pelancongan di daerah ini terkenal hingga ke peringkat antarabangsa, kerjasama semua pihak khususnya Majlis Perbandaran Tawau dan pihak swasta amat diperlukan,”katanya.

Jelas Syed Abas potensi industri pelancongan di Daerah Tawau perlu ditingkatkan semaksimum mungkin supaya tidak terus ketinggalan dari daerah lain di Sabah sebagai pusat tumpuan pelancong luar negara.

“Saya optimis Tawau mempunyai pesona, keunikan dan kelebihannya yang tersendiri dalam industri itu. Tawau boleh dijadikan sebagai destinasi  baru selain Semporna,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat syarikat pelancongan Dynamic Tours Travel and Incentives Sdn Bhd ke pejabat Speaker Dun Sabah semalam.

Hadir sama dalam kunjungan itu oleh Pengarah Urusan Dyanamic Tour Datin Wahida Mardiana Norsalim, Pengarah Eksekutif Inbound Untuk Pasaran China, Mohd Azlan Saleh dan Pengarah Operasi Pemasaran (China), KK Siau.

Menurutnya beliau sebagai Adun Balung bersedia membantu aegensi industri pelancongan kerana percaya masih banyak peluang yang belum diterokai sepenuhnya.

“Industri pelancongan di Sabah cukup baik tahun lepas, apabila merekodkan ketibaan pelancong tertinggi, dan diharap limpahannya merebak ke daerah lain termasuk Tawau.

“Lebih-lebih lagi daerah ini mempunyai jaringan perhubungan udara yang baik, malah difahamkan ada syarikat penerbangan yang akan mebgadakan penerbangan antara Tawau-Johor Bahru atau Tawau Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau percaya sudah tiba masa untuk penilaian semula dilakukan di Tawau dalam usaha memperbanyakkan lagi produk-produk pelancongan untuk menarik kehadiran pelancong.

“Perkara itu termasuklah berkaitan usaha untuk membantu agensi pelancongan menyediakan pakej yang sesuai kepada pelancong yang datang melawat di tempat ini dalam masa yang sama industri pelancongan dapat memasarkan produk pelancongan mereka dengan berkesan di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengarah Urusan Dyanamic Tour Datin Wahida Mardiana Norsalim, berkata tujuan kunjungan untuk berbincang mengenai potensi daerah Tawau sebagai destinasi pelancung dan kelebihan serta keunikan daerah Tawau boleh diketengahkan

“Bagaimanapun, kita tidak boleh hanya bergantung kepada hanya satu produk pelancongan, kerana Tawau sendiri mempunyai peluang yang lebih besar.

“Saya juga berharap kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan pihak-pihak hotel di sekitar Tawau dapat berkekerjasama dengan syarikat pelancongan kami.

“Kita perlu memastikan industri pelancongan di Tawau tidak hanya bergantung kepada satu produk tertentu sahaja, untuk menarik ketibaan pelancong yang lebih besar,” katanya.

Beliau percaya industri pelancongan memberikan ruang yang luas kepada anak-anak Sabah untuk berkecimpung dengan aktif kerana bidang ini dimonopoli orang tempatan.