17
Sel, Okt

Denda Gagal Daftar Kelahiran Tidak Babitkan Sabah, Sarawak

Sabah
Typography

JOHOR BAHRU - Peningkatan denda bagi kegagalan mendaftar kelahiran anak dalam tempoh 60 hari daripada RM50 kepada RM1,000, tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ini kerana pindaan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Akta 299) hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan dan tidak tertakluk atau dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, untuk kedua-dua negeri berkenaan, peraturan pendaftaran kelahiran tertakluk kepada Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (CAP 123) Sabah dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (CAP 10) Sarawak.

Pada masa sama, katanya, dalam pindaan sama juga terdapat penambahan pada Seksyen 12 Subseksyen 1A yang menyatakan denda boleh dikurangkan atau diberi pelepasan oleh pendaftar berdasarkan kepada panduan yang ditetapkan, sekali gus bermakna ada ruang budi bicara bagi kes tertentu.

"Perkara ini (mendaftarkan anak) amat penting memandangkan pendaftaran kelahiran ini akan berkait dengan pelbagai lagi perkara lain. Contoh komplikasi yang mungkin timbul akibat dari kelewatan atau kegagalan mendaftarkan anak yang baru lahir ialah sewaktu hendak mendapatkan suntikan imunisasi dan vaksin untuk bayi pada 6 bulan pertama selepas kelahiran.

"Ibu bapa tidak boleh memandang ringan akan perkara ini dan kementerian juga mesti menetapkan dasar dan peraturan yang selari dengan pendirian kerajaan iaitu untuk menggalakkan ibu-bapa untuk tidak lewat mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ia bagi memperjelaskan pengumumannya kelmarin bahawa pasangan yang tidak mendaftar kelahiran dan surat beranak anak mereka dalam tempoh 60 hari perlu membayar denda RM1,000, berkuat kuasa serta-merta, berbanding RM50 sebelum ini.

Beliau berkata, langkah meningkatkan denda bukan bertujuan mengutip hasil, sebaliknya menggalakkan ibu bapa mempercepat pendaftaran kelahiran anak, selain tidak mahu perkara itu diambil mudah dan sambil lewa.

Nur Jazlan berkata, tempoh dua bulan adalah tempoh yang lebih daripada mencukupi untuk pendaftaran dan ia dipermudahkan lagi dengan kehadiran perkhidmatan di UTC, RTC, Unit Mobile JPN dan Pejabat Cawangan JPN di seluruh negara.

Katanya, taraf warga negara dan dokumen pengenalan diri seperti MyKad mesti dianggap sebagai emas dan dipelihara oleh pemilik, selain mengelakkan dari kecurian identiti khususnya dalam dunia serba siber sekarang.

"Tempoh pendaftaran kelahiran dalam pindaan Akta 299 dilanjutkan dari 42 hari kepada 60 hari bermaksud kini ibu bapa mempunyai tempoh dua bulan untuk mendaftarkan anak mereka," katanya.