17
Sel, Okt

Fasa Projek Jana Tenaga Solar Di Lausan, Kudat Mula Operasi

Sabah
Typography

PUTRAJAYA - Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata fasa pertama projek penjanaan tenaga solar berkapasiti 2 MW di Lausan, dekat Kudat telah siap dan mula beroperasi pada 15 Sept lalu dan bakinya sebanyak 48MW adalah disasarkan untuk mencapai tarikh operasi komersial pada suku pertama tahun depan.

 

“Sebanyak 2MW daripada 50MW tenaga solar yang dibangunkan oleh Tadau Energy Sdn Bhd itu akan disalurkan kepada Grid Kudat manakala selebihnya sebanyak 48MW akan disuntik ke dalam talian penghantaran untuk diagihkan ke seluruh Sabah,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pembiayaan Sukuk Hijau Bagi Projek Solar Berskala Besar di sini, kelmarin.

Sementara itu Maximus berkata Malaysia akan terus menjadi peneraju dalam pasaran kewangan hijau Islam dengan menerbitkan lebih banyak Sukuk Hijau bagi membiayai projek infrastruktur mesra alam.

Beliau berkata, ia akan dilakukan dengan sokongan teknikal daripada Bank Dunia yang turut berkongsi amalan antarabangsa terbaik dengan agensi kerajaan dan institusi kewangan Malaysia.

Katanya, pembiayaan Sukuk Hijau ini merupakan satu kaedah inovatif untuk menyediakan pembiayaan global bagi projek pembangunan lestari di bawah rangka kerja Susuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI Sukuk).

“Dengan ekosistem pembiayaan yang kondusif ini, kerajaan yakin sasaran penjanaan elektrik daripada Tenaga Boleh Diperbaharui sebanyak 7,200 megawatt (MW) menjelang 2020 akan tercapai dengan jumlah penjanaan elektrik daripada tenaga solar menyumbang 2,080 MW,” katanya.

Penyerahan dokumen tersebut melibatkan firma tenaga solar Tadau Energy Sdn Bhd dan Quantum Solar Park Semenanjung Sdn Bhd (QSPM), pemaju projek janakuasa solar, dengan pelabur masing-masing, disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa bertemu dengan Pengarah Eksekutif QSPM dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Peneraju Konsortium ITRAMAS, Lee Choo Boo dan Pengarah Urusan Tadau Energy, Suzanna Lim serta para pelabur sebelum majlis penyerahan dokumen pembiayaan Sukuk Hijau itu. Menurut Maximus, melalui pembiayaan Sukuk Hijau itu, Malaysia telah mencatat sejarah dalam pembiayaan hijau dan arena sukuk global dengan penerbitan Sukuk Hijau pertama di dunia oleh Tadau Energy bernilai RM250 juta pada Julai lalu dan akan menggunakan hasil tersebut untuk membiayai projeknya di Kudat, Sabah.

Katanya pembiayaan Sukuk Hijau itu adalah hasil kerjasama antara Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan World Bank Group dalam usaha membangunkan ekosistem untuk memudahkan pertumbuhan Sukuk Hijau dan memperkenalkan instrumen kewangan inovatif bagi menangani keperluan infrastruktur global dan pembiayaan hijau.

Ia diikuti dengan penerbitan Sukuk Hijau terbesar sebanyak RM1bilion oleh QSPM untuk membiayai tiga projek janakuasa solar fotovaltaik solar berskala besar yang setiap satu berkapasiti 50 MW yang terletak di Gurun (Kedah), Jasin (Melaka) dan Merchang (Terengganu), katanya.

 

“Ini akan mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam kewangan hijau Islam dan memantapkan usaha negara dalam memperkenalkan inovasi dalam produk pembiayaan.