17
Sel, Okt

DPNS 3 Tumpu Optimum Sumber Pertanian Untuk Ekonomi Sabah

Sabah
Typography

SANDAKAN – Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPNS 3) bagi tempoh 2017-2020 menumpukan terhadap usaha mengoptimumkan sumber pertanian untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin.

Beliau berkata pelaksanaan DPNS 3 merupakan usaha kerajaan negeri  untuk tidak ketinggalan dalam mengambil bahagian untuk menjayakan Wawasan 2020 dan program transformasi kerajaan dalam industri pertanian.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata DPNS 3 digubal berdasarkan pembangunan dan pencapaian menerusi DPNS pertama dan kedua.

Katanya dasar itu menggariskan tiga matlamat strategik iaitu meningkatkan tahap keselamatan makanan serta pendapatan pengeluar, memperkukuhkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing industri pertanian dan mengekalkan kemampanan pertanian.

Menurutnya ia bertujuan untuk meningkatkan pencapaian kadar pertumbuhan pengeluaran sekurang-kurangnya tiga peratus Tahap Sara Diri setiap tahun bagi tanaman makanan, ternakan dan perikanan.

"Ia juga bagi meningkatkan pendapatan purata petani atau pengeluar kepada RM4,000 sebulan bagi setiap isi rumah," katanya pada majlis penutupan Festival Agro Makanan dan Bioteknologi Politeknik Sandakan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah Balasius Dausa.

Yahya berkata pendekatan itu diambil sebagai langkah menangani isu serta cabaran dalam sektor pertanian antaranya keperluan infrastruktur dan kemudahan asas di semua kawasan pengeluaran makanan serta tanaman utama.

 

BERNAMA