21
Sel, Nov

'Maharlika' Kekang Kemasukan Pengganas

Sabah
Typography

SANDAKAN - Satu operasi dikenali sebagai ‘Maharlika’ bertujuan mengekang kemasukan pejuang-pejuang pengganas (FTF) akan bermula awal bulan hingga 15 November ini.

 

Operasi membabitkan empat negara iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP) akan dijalankan dengan kerjasama pihak Polis Antarabangsa atau Interpol.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, kelmarin Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah berkata menerusi sokongan Interpol pihaknya akan mendapat bantuan dari segi latihan, perkakasan dan data sesuai untuk digunakan sepanjang operasi bersama ini.

Katanya, operasi Maharlika bertujuan untuk mengekang pejuang pengganas asing atau Foreign Terrorist Fighters daripada memasuki ke negara masing-masing.

Menurutnya, operasi ini akan menekankan latihan dari segi penggunaan pangkalan data Interpol dan memperkuat kerjasama penguatkuasaan sempadan antarabangsa dan nasional di beberapa lokasi tertentu.

“Operasi ini juga antara lain bertujuan untuk meningkatkan keupayaan agensi-agensi kebangsaan yang berkaitan untuk menghalang pergerakan FTF ke dalam dan keluar dari rantau ini melalui jaringan kolaborasi serta pertukaran maklumat perisikan masa yang diselaraskan oleh Interpol.

“Operasi ini dijalankan selama dua minggu bermula 1 hingga 15 November dengan melibatkan kerjasama pihak Interpol.

“Dengan kerjasama melalui operasi bersama ini ia sekali gus menunjukkan bahawa empat negara asia bersatu hati dalam memerangi aktiviti jenayah FTF,” katanya pada sidang media berkenaan selepas Majlis Perasmian ‘Interpol Operation Maharlika di Four Points By Sheraton Sandakan, dekat sini.

Hadir sama Pengarah Operasi Sokongan dan Analisis Pejabat Sekretariat INTERPOL, Harald Arm; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata kerjasama ini amat penting dalam memastikan kawalan perairan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Beliau menegaskan kerjasama ini juga jelas membuktikan bahawa pasukan keselamatan komited dalam usaha memerangi pecerobohan pengganas rentas sempadan.

Dalam pada itu, katanya lagi tidak ada faktor spesifik pemilihan Sandakan sebagai lokasi pelancaran Operasi Maharlika bermula esok kerana bandar ini berada dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).