21
Sel, Nov

Esscom Penting Bagi Mengekalkan Keamanan, Kedaulatan Sabah

Sabah
Typography

TAWAU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) adalah entiti penting dan masih releven dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negeri ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat berkata kejayaan Esscom dapat dilihat apabila tiada kes penculikan dilaporkan tahun ini ekoran langkah ofensif  agensi itu semasa Op Coral hujung tahun lepas.

"Semua masyarakat daripada pelbagai lapisan perlu sentiasa meletakkan kepercayaan tinggi kepada pasukan keselamatan yang menjaga kedaulatan dan keamanan Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

"Tugas menjaga keamanan bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasukan keselamatan kita sentiasa terdedah kepada cabaran dan bahaya semasa menjalankan tugas," katanya ketika melancarkan Program Semarak Rakyat Bersama Esscom  'Sabah Tanah Airku' peringkat daerah Tawau, di sini.

Sementara itu, Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berharap masyarakat menyedari peranan dan tanggungjawab bersama dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan Sabah.

"Kalau Esscom bertindak sendirian habislah kami, kami perlukan masyarakat untuk membantu kami sebab itu kita adakan program seperti ini untuk lebih dekat dengan masyarakat," katanya.