21
Sel, Nov

40,053 Calon SPM Di Sabah

Sabah
Typography

TUARAN - Seramai 40,053 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri ini menduduki peperiksaan, pada hari pertama bagi kertas Bahasa Melayu, pagi ini.

 

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata jumlah itu membabitkan calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan serta calon sekolah swasta.

Maimunah berkata, seramai 4,331 petugas ditempatkan di seluruh pusat peperiksaan di negeri ini dan pihaknya mewajibkan supaya setiap pusat itu menghantar laporan harian selewat-lewatnya jam 4 petang setiap hari.

"Kita berharap kesemua calon dapat menduduki peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang gangguan termasuk bencana banjir yang sering menimpa di kawasan sekolah pedalaman dan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Suntikan Semangat Pelajar SPM di SMK Taman Ria, di sini pagi tadi sempena hari pertama SPM.

Sementara itu, Maimunah berkata, pihaknya memilih melakukan tinjauan hari pertama SPM di SMK Taman Sri Tuaran kali ini kerana ia antara sekolah luar bandar dan masih baru beroperasi iaitu kira-kira enam tahun lalu dengan membabitkan seramai 131 calon.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Tah Nia Jaman dan Pengetua SMK Taman Ria Tuaran Said Andong.