24
Jum, Nov

Buku Log Bas Ekspres BIMP-EAGA Diperkenalkan

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Perkhidmatan bas ekspres menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei kini dilengkapi sistem buku log perjalanan bagi memudahkan pemantauan keselamatan penumpang serta bas yang beroperasi merentasi sempadan negara.

 

Inisiatif menerusi kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) itu diperkenalkan sejajar dengan pertumbuhan sektor pengangkutan penumpang, khususnya antara negeri ini dengan Sarawak dan Brunei.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Bobbey Suan, berkata penyediaan buku log bas ekspres bagi perkhidmatan merentasi sempadan penting bukan saja untuk memudahkan pemantauan pihak berkuasa, malah menjaga imej pengangkutan negara.

Katanya, sebagai penyedia perkhidmatan serantau, pengusaha dan pemandu bas ekspres dari negeri ini berperanan seperti duta kecil dengan memberi gambaran baik berhubung perkhidmatan disediakan kepada masyarakat luar.

"Isu keselamatan bas ekspres sering diperkatakan orang ramai lebih-lebih lagi banyak kes kemalangan membabitkan perkhidmatan itu hingga menyebabkan kematian seperti sering dilaporkan di luar negara menerusi media.

"Kerajaan negeri sangat mengambil berat isu ini dan tidak mahu melihat kemalangan membabitkan bas ekspres kita lebih-lebih lagi yang beroperasi merentasi sempadan seperti dalam BIMP-EAGA.

"Berikutan itu, langkah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menyediakan buku log bas ekspres yang beroperasi antara negeri ini dengan Sarawak dan Brunei sangat tepat dengan keperluan langkah keselamatan masa kini," katanya pada majlis pelancaran buku log itu, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Raimie Unggi.

Buku log itu antara lain bertujuan untuk mendokumenkan rekod pemandu dan perjalanan, selain memastikan pertukaran pemandu setiap empat jam atau 300 kilometer.

Terdahulu, Raimie berkata, dua syarikat bas ekspres dari negeri ini menerima lesen untuk beroperasi dalam wilayah BIMP-EAGA, bagi laluan Sabah-Sarawak-Brunei, iaitu Jesselton Express Sdn Bhd dan Borneo Tesoro Sdn Bhd.

 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.