21
Sel, Nov

Pembinaan Loji Rawatan Air Muanad Beluran Dijangka Siap Ogos 2018

Sabah
Typography

BELURAN - Pembinaan projek Loji Rawatan Air di Kampung Muanad dekat sini sudah siap 44 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos tahun hadapan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Zakaria Mohd Edris berkata projek pembinaan loji itu telah bermula pada Mac tahun lepas dan sepatutnya siap pada September lepas.

Katanya kerja-kerja belum dapat diselesaikan dalam tempoh berkenaan oleh kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Apabila siap nanti, loji dibina dengan kos RM32 juta itu akan menyalurkan bekalan air terawat kepada beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum Gum iaitu Jaya Bakti, Memanjang dan Satura serta kawasan lain dalam daerah ini, katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Udangan Negeri Gum-Gum berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau loji rawatan air itu, semalam.

Terdahulu beliau telah diberi taklimat berhubung projek dan sebab kelewatan pembinaan loji rawatan air itu oleh Jurutera  Jabatan Air Bahagian Sandakan Hamirul Ariffin.

Loji Rawatan Air akan beroperasi 16 jam sehari dan mampu memproses dan merawat air minuman sekitar enam juta liter  sehari.

Zakaria berkata beliau mengadakan tinjauan ke tapak loji ini setelah menerima laporan daripada  penduduk  kampung bahawa pemasangan paip telah siap tetapi bekalan air masih belum disalurkan ke kampung mereka.

Justeru, beliau berkata telah meminta pihak Jabatan Air Negeri Sabah supaya mempercepatkan kerja pembinaan loji ini agar penduduk kampung yang terbabit dapat menikmati bekalan air terawat.

"Buat masa ini penduduk di Kampung Jaya Bakti, Memanjang, Satura dan kawasan persekitaran bergantung kepada air hujan dan air perigi untuk kegunaan harian mereka," katanya.

Menurutnya kerajaan telah mengagihkan tangki kepada penduduk kampung terlibat bagi memudahkan mereka menyimpan bekalan air.