21
Sel, Nov

STB, MAB Jalin Pakatan Tingkat Pelancongan Sabah

Sabah
Typography

KOTA KINABALU ­- Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menandatangani kempen perkongsian bersama baharu untuk tahun 2018 dengan Malaysia Airlines Bhd (MAB) di London bagi meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Sabah dan menaikkan profil Borneo (Kota Kinabalu) di United Kingdom (UK).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata perkongsian itu akan membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk meningkatkan jumlah pelancong dan pelancong perniagaan dari UK dan Ireland ke Sabah.

Tahun depan, MAB London akan mengadakan siri aktiviti perdagangan dan pengguna serta kempen mempromosikan Sabah dan Malaysia melalui Promosi Kempen Digital di portal dalam talian Malaysia Airlines UK/Kesatuan Eropah, bersama-sama dengan Kuoni, dan perkongsian perdagangan pelancongan dengan rakan-rakan pengendali utama untuk melancarkan laluan A350.

"Statistik oleh STB menunjukkan bahawa pada 2016, terdapat sejumlah 35,901 pelancong yang tiba daripada pasaran utama ini, meningkat 7.0 peratus dari 2015. Ketibaan pelancong antarabangsa pada 2016 mencatatkan lebih 1.1 juta pelawat, peningkatan ketara sebanyak 15.4 peratus berbanding 2015.

"Bagi Malaysia Airlines, pengunjung ke Kota Kinabalu bertambah sebanyak 57 peratus dari Januari hingga September 2017 dan mencapai 10,523 ketibaan berbanding tempoh yang sama pada 2016," kata Masidi dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Perjanjian STB-MAB itu ditandatangani oleh Masidi dan Pengurus Wilayah Malaysia Airlines bagi Ireland, Eropah dan Amerika Utara, Adrian Keating di World Travel Market London 2017 di ExCel London, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar STB, Suzaini Sabdin Ghani dan Penolong Pengurus (Pemasaran) STB (Pasaran UK, Eropah dan Amerika Syarikat) Daniel Roman.

Sementara itu, Keating berkata Malaysia Airlines adalah jenama yang merangkumi budaya dan kepelbagaian Malaysia dan syarikat amat gembira untuk memperbaharui perkongsiannya dengan STB bagi mempamerkan semua yang ditawarkan oleh rantau berkenaan.

"Sama ada anda ingin meneroka ketinggian Gunung Kinabalu atau berehat di pantai yang indah, Sabah adalah tempat yang sesuai untuk memulakan pengembaraan di Malaysia," katanya.

Masidi mengetuai delegasi Sabah Tourism di World Travel Market London yang turut dihadiri oleh Borneo Nature Tours, Borneo Adventures, Shangri La Rasa Ria, Rustic Borneo, dan Borneo Sandakan Tours.

World Travel Market London merupakan acara global terkemuka bagi industri pelancongan, menjana lebih daripada 2.8 bilion kontrak perniagaan antara peserta.

Peserta industri pelancongan berkumpul mulai 6 hingga 8 Nov, menawarkan hampir 5,000 destinasi, syarikat teknologi dan sektor swasta mencari dan mengadakan rangkaian dengan 51,000 profesional pengembaraan, pembeli industri utama, wartawan, penggiat digital, pelajar dan menteri-menteri pelancongan.