14
Kha, Dis

PDRM Rancang Tempatkan PSP Di Sabah, Sarawak

Sabah
Typography

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang  mempertimbangkan untuk meluaskan operasi Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di Sabah dan Sarawak.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata cadangan memperluaskan operasi berkenaan sebagai memperkukuhkan lagi kekuatan sedia ada bagi memastikan isu berkaitan ketenteraman awam sentiasa terkawal.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 2,400 pegawai dan anggota PSP di seluruh negara yang diserapkan di 21 trup di kawasan Semenanjung.

"Di Sabah kami hanya menempatkan sebuah aset PSP iaitu kenderaan 'Water Cannon' di markas Pasukan Gerakan Am untuk mengawal ketenteraman awam di sana dan tiada anggota PSP.

"Jika ada keperluan kami akan memperluaskan pasukan ini di beberapa buah negeri dan akan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk kelulusan perkara ini," katanya pada sidang media sempena Ulang Tahun PSP ke-62, di Pangkalan PSP Cheras, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Komander PSP, Datuk Wan Abdullah Ishak.

Mohamad Fuzi berkata, PSP ketika ini dalam proses mengatur strategi dan pelaksanaan gerak kerja yang lebih teliti bagi memastikan setiap tugasan, mengikut piawaian antarabangsa yang telah ditetapkan.

Katanya, ia dilaksanakan selari dengan arus perubahan semasa dan demi memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang kini cenderung ke arah aspek keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Seiring dengan kepolisan moden ketika ini PSP akan dibekalkan peralatan logistik termasuklah kenderaan baru yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

"Ini termasuk mengambil kira persiapan yang dirancang rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang," katanya.