14
Kha, Dis

Kejayaan Tembak Mati Penjenayah Bukti Kesiapsiagaan Esscom

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Kejayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menembak mati penjenayah rentas sempadan di perairan Pulau Kantong Kalungan, Silam Lahad Datu awal pagi ini membuktikan tahap kesiapsiagaan tertinggi pasukan itu dalam menghadapi sebarang ancaman pada bila-bila masa.

Menegaskan demikian, Setiausaha Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS), Mohd Zaki Harry Susanto berkata kejayaan itu juga membuktikan ESSCom sangat serius dalam hal menjaga kedaulatan negara agar tidak dicerobohi dengan mudah oleh anasir luar.

"Pujian harus diberikan kepada Komander ESSCom Datuk Hazani Ghazali yang dilihat cukup komited di dalam memperkasa fungsi serta kewibawaan ESSCom.

"ESSCom terbukti berjaya mengekang kegiatan 'Kidnapping For Ransom' (KFR) bagi satu tempoh yang panjang selepas kes terakhir yang pernah berlaku. Ini bukanlah bermakna penjenayah rentas sempadan tidak berminat untuk melakukan jenayah penculikan tetapi mereka tidak melihat sebarang ruang atau peluang untuk melakukannya," katanya.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu pasukan keselamatan berjaya menembak mati seorang suspek dikenali sebagai Abu Paliyak, 30-an, dipercayai anggota Kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan KFR dalam insiden berbalas tembakan di perairan berkenaan.

"Dengan kejayaan itu kita berharap ESSCom tidak mudah berpuas hati dan harus terus melipatgandakan usaha memerangi jenayah rentas sempadan, sekali gus menambahbaik perancangan strategik serta pertukaran maklumat. Ia penting agar kesejahteraan hidup masyarakat di Sabah  terus terpelihara," kata Mohd Zaki.