14
Kha, Dis

Tahun Melawat Keningau 2018 Lakar Keningau Di Peta Pelancongan Dunia

Sabah
Typography

KENINGAU - Tahun Melawat Keningau 2018 akan membolehkan daerah itu melakar nama di peta pelancongan dunia, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Bagaimanapun, kejayaan itu bergantung kepada kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh masyarakat setempat, khususnya yang mengusahakan produk pelancongan.

"Ini adalah sasaran kita. Kita mahu Keningau dikenali di dunia," katanya dalam ucapan penutupan Pesta Banjaran Crocker (TCRF) di sini. 

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Radin Malleh.

Pairin, yang juga anggota Parlimen Keningau, berkata jawatankuasa sambutan Tahun Melawat Keningau 2018 telah merangka pelbagai aktiviti untuk memastikan citarasa pengunjung dipenuhi sepanjang tahun.

Justeru, beliau berkata masyarakat setempat perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan persekitaran di daerah berkenaan sentiasa bersih dan menarik.

Pairin berkata usaha menggalakkan pelancong ke daerah itu juga akan merancakkan ekonomi daerah, sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Selain itu, beliau berkata Tahun Melawat Keningau 2018 akan menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke kawasan pedalaman, sekali gus berupaya meningkatkan sosioekonomi masyarakat pedalaman.