14
Kha, Dis

Risikan Akan Diperkuat Banteras Jenayah Dadah Rentas Sempadan

Sabah
Typography

TAWAU - Maklumat risikan akan diperkuat ke arah membanteras jenayah dadah rentas sempadan yang menggunakan daerah ini sebagai transit, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (KBSJN) Tawau, Andi Ma’mur Halwati.

 

Menurutnya, hasil maklumat yang banyak diperoleh menunjukkan daerah ini yang bersempadan dengan negara jiran Indonesia sering dijadikan lokasi transit pengedaran dadah sebelum dibawa keluar.

“Harapan saya sebagai ketua yang baharu agar kita dapat menguatkan risikan maklumat bagi mencegah dan seterusnya mengurangkan pengedaran dadah merentasi sempadan.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum daerah Tawau ini bersempadan dengan negara Indonesia jadi banyak maklumat kita terima berlaku pengeluaran dadah daripada sabah ke negara Indonesia,”katanya.

Beliau berkata ketika diminta berucap selepas menerima Majlis Serah Terima Tugas Ketua BSJN daripada Insp. Izwan Abdol Rahman di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kelmarin.

Katanya, langkah meningkatkan tangkapan pengedar-pengedar dadah di bawah Seksyen 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 juga akan dilakukan dengan komited bagi menangani isu berkenaan.

Andi berkata selain itu operasi yang lebih terancang dan sistematik bagi mencegah penjualan dadah secara jalanan akan dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kita juga akan memfokus melakukan tangkapan penagih dadah berulang agar dapat dituduh di bawah Seksyen 39© Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,”katanya lagi.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt. Nor Azizulkifli Mansor ketika hadir pada majlis itu mahu semua unit dan anggota menjalankan tugas dengan penuh dedikasi bagi mencapai hasrat Tawau Sejahtera.

“Kita mahu realisasikan hasrat menjadikan daerah ini sebagai Tawau Sejahtera dan membanteras isu jenayah dadah ini adalah salah satu perkara yang perlu ditangani habis-habisan bagi mencapai misi itu,”katanya.