14
Kha, Dis

Empat Anggota DAESH Ditahan Di Sandakan

Sabah
Typography

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki dipercayai anggota militan Daesh di Sandakan, Sabah, Isnin lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Kesemua mereka yang berusia antara 31 hingga 40 tahun adalah rakyat negara jiran. Mereka menggunakan Sandakan sebagai transit untuk ke Selatan Filipina.

"Keempat-empat lelaki itu merupakan individu yang dikehendaki polis dan kesemua mereka kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Cegah Jenayah Ragut dan seluk saku di sini, semalam.

Bagaimanapun, Fuzi enggan mengulas lanjut perkara itu kerana ia masih dalam siasatan.

Dalam majlis itu, Fuzi berkata PDRM telah meningkatkan kerjasama dengan masyarakat khususnya Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha mengurangkan kadar jenayah khususnya jenayah jalanan seperti ragut dan seluk saku.

"Indeks Jenayah di seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak 13.5 peratus sepanjang tahun ini. Hampir kesemua negeri telah menunjukkan kadar jenayah rendah kecuali di Sabah terdapat sedikit peningkatan.

"Justeru itu, jalinan kerjasama antara PDRM dan NGO akan diteruskan dan amat penting dalam memastikan masyarakat sentiasa merasa selamat yang sekali gus mengurangkan kebimbangan ketika berada di pusat bandar," katanya.

Fuzi berkata pelbagai pendekatan telah dibuat PDRM antaranya ialah menempatkan anggota di 16 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan jenayah jalanan, termasuk di Jalan Bukit Bintang di ibu negara.