14
Kha, Dis

Pemain Industri Sabah Digesa Manfaat Peluang

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Pemain industri tempatan di Sabah diminta memanfaatkan peluang disediakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam mengembangkan perniagaan ke pasaran global.

 

Pengarah Eksekutif, Perancangan Strategik (Perkilangan) MIDA, Zabidi Mahbar, berkata kerajaan sudah menyediakan geran padanan bernilai RM245 juta menerusi Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) bagi memantapkan syarikat masing-masing.

"Walaupun geran ini sudah diwujudkan sejak 2012, kami belum menerima sebarang permohonan daripada pemain industri perniagaan di negeri ini. Dana ini boleh digunakan untuk membeli peralatan moden, sekali gus bagi memperoleh kelayakan antarabangsa berkaitan penyelidikan dan pembangunan atau latihan.

"Kita sudah melakukan promosi berkaitan dana ini dari semasa ke semasa termasuk mengadakan promosi khas berkaitan DISF tetapi kurang pasti faktor sebenar pelabur Sabah tidak memohonnya.

"Bagaimanapun, kita beranggapan mungkin disebabkan masih ramai pelabur di Sabah tidak memahami mengenai perkara ini, selain berasa kurang keupayaan untuk memohon geran terbabit," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pelaburan Domestik, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), Datuk George Lim.

Lebih 200 peserta menyertai seminar berkenaan yang terdiri daripada pemain industri termasuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan industri berkaitan.

Antara tujuan seminar ialah memberi maklumat terkini berkaitan peluang pelaburan di negara ini khususnya pelabur tempatan.

Sementara itu, Zabidi berkata, Sabah meluluskan pelaburan asing bernilai lebih RM400 juta dalam sektor perhotelan, pelancongan dan pembuatan pada separuh pertama tahun ini walaupun persekitaran ekonomi global tidak menentu.

Katanya, ini berikutan ekosistem yang komprehensif menjadi tarikan semula jadi kepada pelabur untuk melabur di Sabah.

Dalam pada itu, katanya, sebaik projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,083 kilometer siap, ia akan mempercepatkan lagi pertumbuhan sosial dan ekonomi Sabah dan Sarawak.