14
Kha, Dis

Polis Tawau Guna Pakai Tiga Elemen Banteras Jenayah Dadah Rentas Sempadan

Sabah
Typography

TAWAU - Polis akan memperkasa tiga elemen utama ke arah membanteras jenayah dadah rentas sempadan di daerah ini, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (KBSJND) Tawau yang baharu, ASP Andi Ma'mur Halwati.

Andi berkata antara elemen itu adalah meningkatkan maklumat risikan ekoran Tawau bersempadanan dengan Indonesia serta melakukan operasi terancang dan sistematik bagi mencegah penjualan dadah secara jalanan.

"Di samping meningkatkan penangkapan pengedar dadah di bawah Seksyen 3 (1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985, ia juga memfokuskan kepada penangkapan penagih berulang bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39 (C) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Andi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas KBSJND daripada Insp Izwan Abdol Rahman di di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini, pada selasa. Andi sebelum ini bertugas di bahagian siasatan jenayah narkotik, Kota Kinabalu.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah, Supt. Azizulkifli Mansor ketika berucap pada majlis itu meminta semua unit dan anggota menjalankan tugas berpasukan dengan penuh dedikasi bagi mencapai hasrat Tawau Sejahtera.

"Kita mahu realisasikan hasrat menjadikan daerah ini sebagai Tawau Sejahtera dan membanteras isu jenayah dadah adalah salah satu perkara yang perlu ditangani habis-habisan bagi mencapai misi itu," katanya.