19
Jum, Jan

Pembinaan Empangan Air Pelbagai Guna Siap 2021

Sabah
Typography

TAWAU - Sebuah empangan pelbagai fungsi dianggarkan bernilai RM450 juta akan dibina di kawasan Jalan Gudang 4 Tawau di sini, sekali gus mampu mengatasi masalah banjir selain kekurangan bekalan air mentah.

 

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata empangan pertama seumpamanya di Sabah yang dijangka siap menjelang tahun 2021 itu mempunyai dua fungsi iaitu sebagai takungan dan simpanan air mentah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, berkata pembinaan empangan itu bakal meningkatkan kapasiti takungan air mentah sebanyak 30,000 juta liter selain tambahan takungan sebanyak 4,600 juta liter bagi fungsi tebatan banjir.

"Asalnya projek ini membekalkan kemudahan bekalan air mentah, namun setelah penelitian semula oleh kerajaan negeri ia dijadikan empangan pelbagai guna dengan tambahan fungsi sebagai tebatan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III - Rekabentuk dan Pembinaan Empangan Air di sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching serta Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Ghulam Haidar Khan.

Pairin berkata, pembinaan projek itu mendapat perhatian kerajaan negeri sehingga beberapa kali dibangkitkan bukan saja di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), malah di Parlimen.

"Projek ini amat penting dan menjadi hala tuju penyediaan bekalan air mentah sebanyak 209 juta liter sehari dengan ketersediaan sebanyak 98 peratus bagi penduduk Tawau.

"Di samping itu, empangan itu mampu mengelak limpahan air sungai ketika musim hujan sekali gus mengatasi banjir kilat yang sering berlaku di bandar Tawau, terutama kawasan Kampung Pasir Putih selain menjamin sumber bekalan air mencukupi dan konsisten dari segi kuantiti dan kualiti," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Datuk Wilis Ansoi, berkata melalui projek itu, takungan air kelak membabitkan keluasan 78 kilometer persegi dengan struktur binaan empangan menggunakan jenis 'Concrete Face Rockfill' (CFR) yang mampu bertahan apabila mengalami gegaran akibat gempa bumi," katanya.