19
Rab, Dis

Airbus A350 Lakukan Penerbangan Ujian Ke KKIA

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Pesawat Airbus A350 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) melakukan penerbangan ujian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

 

Ini bertujuan memberi pengalaman pengendalian kepada juruterbang dan kru kabin sebelum pesawat baharu itu memulakan penerbangan pertamanya ke London pada 15 Januari depan.

Pesawat baharu berkenaan berlepas dari KLIA menerusi penerbangan MH2614 pada jam 1.05 tengah hari dan tiba di KKIA kira-kira jam 3.50 petang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun ditemani Ketua Pegawai Komersial MAB Arved Von Zur Muehlen dalam penerbangan itu, berserta lebih 100 penumpang.

Turut serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Bercakap kepada pemberita selepas tiba di KKIA, Arved berkata pesawat baharu berkenaan, yang mempunyai 286 tempat duduk termasuk empat tempat duduk Kelas Pertama, 35 Kelas Bisnes dan 247 Kelas Ekonomi itu, diyakini akan memberi pengalaman dan keselesaan sangat baik kepada pelanggan.

“Kami gembira dapat terbang ke BKI (Kota Kinabalu) dan berterima kasih mendapat sokongan daripada Lembaga Pelancongan Sabah,” kata beliau.

Arved berkata pesawat A350 itu bakal menggantikan pesawat A380 yang akan digunakan bagi projek amal syarikat penerbangan berkenaan seperti perkhidmatan haji dan umrah.

MAB dijangka menerima kesemua enam pesawat A350 pada suku kedua tahun ini, katanya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.