19
Jum, Jan

Pelancongan Sabah Jana Lebih RM7b

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Sabah mencatat pulangan sektor pelancongan mencecah RM7.764 bilion menerusi kedatangan kira-kira 3.7 juta pelancong tahun lalu.

 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia adalah pencapaian terbaik dicatat setakat ini bagi Sabah.

"Bilangan kedatangan pelancong ke Sabah pada tahun 2017 adalah sangat baik. Kita menjangkakan angka akhir kedatangan pelancong adalah sekitar 3.7 juta.

"Ia membawa kira-kira RM7.764 bilion, iaitu yang terbaik bagi Sabah setakat ini," katanya pada majlis makan malam meraikan pengalaman rakan Malaysia Airlines Berhad (MAB) menaiki pesawat baharu A350 dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Komersial MAB, Arved Von Zur Muehlen.

Masidi berkata, pencapaian terbaik itu adalah hasil kerjasama semua pasukan kerja termasuk syarikat penerbangan seperti MAB, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan agensi lain yang terbabit dalam memudahkan kemasukan pelancong.

Ketika ini, katanya, sebanyak 14 syarikat menawarkan penerbangan ke Kota Kinabalu dengan kekerapan penerbangan mingguan masing-masing 176 bagi sektor antarabangsa dan 418 domestik beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

"Ini membolehkan KKIA mengambil alih kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kira-kira 35 peratus pelancong asing ke negeri ini adalah warga China dan ia didorong oleh penerbangan terus menghubungkan negara itu dengan Sabah.

"Kemasukan pelawat melalui udara khususnya dari utara Asia ke Sabah sangat menggalakkan dan kita tahu situasi ini akan berterusan dengan adanya rakan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak.

"Kita juga berharap lebih banyak laluan masuk ditawarkan syarikat penerbangan penuh seperti MAB untuk membawa lebih ramai pengunjung berasaskan perniagaan khususnya daripada pasaran penerbangan jauh," katanya.

Sementara itu, Muehlen berkata, MAB sedia membantu Sabah membawa seramai mungkin pelancong termasuk dari Eropah menerusi perkhidmatan sambungan penerbangan antarabangsa khususnya dari London ke KKIA melalui KLIA.

MAB bakal menggunakan pesawat baharu A350 XWB yang mempunyai kapasiti 286 tempat duduk bagi laluan Kuala Lumpur-London yang dijadualkan bermula 15 Januari ini.