22
Ahd, Apr

Kerajaan Berterusan Laksana Pembangunan, Bantuan

Sabah
Typography

SANDAKAN - Kerajaan Sabah akan terus bekerja memastikan nasib rakyat negeri ini terbela menerusi pembangunan berterusan dan bantuan yang disalurkan, khusus kepada segenap peringkat umur serta lapisan masyarakat.

 

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata kepemimpinan negeri di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan bekerja secara bermusim, sebaliknya berusaha membantu rakyat menikmati kehidupan lebih selesa serta sejahtera.

"Saya gembira dapat bertemu semua lapisan masyarakat sama ada golongan pelajar, belia atau warga emas.

"Atas sebab itu, kita sentiasa berkerja supaya apa yang kita usahakan ini dapat memberi manfaat bukan saja di sini, malah di seluruh negeri," katanya pada Majlis Semarak Perpaduan Bersama Pemimpin di Dewan Serbaguna Kampung Rancangan Luboh di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Ketua Wanita UMNO Sabah merangkap Ketua Wanita UMNO Libaran, Datuk Armani Mahiruddin.

Dalam perkembangan lain, Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, berkata kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan semula kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) supaya jalan masuk ke Kampung Rancangan Luboh dinaik taraf.

Katanya, permohonan itu sebelum ini sudah dikemukakan kepada KKLW tetapi tidak mendapat kelulusan, namun ia dihantar semula melalui Ahli Parlimen Libaran selepas kementerian terbabit diterajui menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain di Kampung Rancangan Luboh, Musa turut menghadiri satu lagi program bersama rakyat di pekarangan Gentingmas Mall di Taman Fajar.

Dalam kedua-dua program itu, beliau menyampaikan bantuan beg sekolah dan kerusi roda kepada masing-masing 475 serta 14 orang penerima.