21
Sab, Jul

JTU Sabah Sasar Ukur 17,000 Hektar Tanah NCR Tahun Ini

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menetapkan sasaran untuk melaksanakan pengukuran Tanah Hak Asasi Anak Negeri (NCR) seluas 17,000 hektar menerusi program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dan Geran Komunal sepanjang tahun ini, kata Pengarahnya Datuk Safar Untong.

Beliau berkata pengukuran tanah NCR atau tanah-tanah yang telah diduduki dan didiami oleh anak negeri sejak turun-temurun itu melibatkan sebanyak 80 pasukan 'Survey'.

"Kedua-dua program ini (PANTAS dan Geran Komunal) adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan dengan objektif untuk mempercepatkan proses permohonan tanah anak negeri Sabah.

"Melalui Bajet 2018 kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM20 juta untuk kerja pemetaan serta pengukuran tanah-tanah adat di Sabah dan peruntukan itu akan melancarkan serta memberi kesinambungan terhadap program PANTAS dan Geran Komunal," katanya.

Safar berkata sejak PANTAS diperkenalkan pada 2011, sebanyak 21,378 lot tanah dengan jumlah keluasan 36,137.02 hektar melibatkan 92 kampung di seluruh Sabah telah berjaya diukur sehingga Disember 2017.

Katanya bagi program Geran Komunal pula sebanyak 73 Geran Komunal telah siap diproses dan dikeluarkan melibatkan 217 kampung di 12 daerah, dengan jumlah keluasan 122,048.03 ekar (49,405.64 hektar) sehingga Disember 2017 sejak ia diperkenalkan pada 2011.

"Sepanjang tempoh itu seramai 10,636 dalam kalangan ketua isi rumah anak negeri Sabah telah mendapat manfaat daripada program Geran Komunal dan untuk tempoh tahun 2017 sahaja empat Geran Komunal telah selesai diukur dengan keluasan 5,568.10 hektar," katanya.

Geran Komunal adalah sama dengan geran hak anak negeri, namun ia (Geran Komunal) lebih besar disebabkan permohonan tanah dibuat secara berkelompok (nama mereka disenaraikan dalam geran berkenaan).

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Tampasak Babagon, Bianis Gampi, 60, berkata beliau berharap akan turut mendapat manfaat menerusi program PANTAS untuk mempercepatkan proses permohonan tanah milik arwah datuknya di Bongawan.

"Tanah di Bongawan seluas kira-kira enam hektar itu telah diberikan kepada saya. Oleh itu saya berharap peruntukan sebanyak RM20 juta untuk tujuan kerja pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat di Sabah pada tahun ini dapat memberi manfaat kepada semua anak Sabah termasuk tanah kami di Bongawan," katanya.

Alex Kalidin, 35, dari Kampung Maukab, Ranau pula berkata program PANTAS merupakan satu inisiatif kerajaan yang perlu dipuji dan disambut baik oleh seluruh anak negeri Sabah.

"Saya merupakan antara mereka yang telah mendapat manfaat daripada program PANTAS yang dilaksanakan di Ranau pada tahun lepas.

"Saya difahamkan JTU Sabah telah menempatkan dua pasukan pengukur secara sepenuh masa di kampung kami (Kampung Maukab) iaitu kampung pertama yang mendapat manfaat daripada PANTAS di daerah Ranau dan melalui program itu saya bakal mendapat geran tanah seluas kira-kira 2.02 hektar," katanya.

Menurutnya, sebagai penduduk di Kampung Maukab beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya kepada JTU Sabah dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun kerana telah memilih Kampung Maukab untuk memulakan program PANTAS di Ranau.

"Saya percaya program PANTAS memberi banyak faedah kepada penduduk Ranau yang majoritinya adalah anak negeri dan suku kaum Dusun," tambahnya.