22
Ahd, Jul

109 Sekolah Daif Akan Dibaik Pulih, Naik Taraf Tahun Ini

Sabah
Typography

PAPAR - Kerajaan sudah mengenal pasti 109 sekolah daif di seluruh Sabah untuk dinaik taraf dan baik pulih tahun ini melalui peruntukan RM500 juta bagi menyediakan persekitaran pembelajaran selesa kepada pelajar di negeri ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM1 bilion untuk program baik pulih sekolah daif di Sabah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018.

Rosnah yang juga Pengerusi Pasukan Petugas projek itu berkata daripada jumlah tersebut, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Sabah akan menaik taraf dan membaik pulih 74 sekolah manakala selebihnya akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Pelaksanaannya dijangka bermula awal Mac tahun ini dan diharapkan berjalan lancar. Pada peringkat Kementerian Kerja Raya sendiri, kita telah mengadakan mesyuarat dan dalam mesyuarat itu, menteri kerja raya sendiri mengarahkan supaya pemantauan kepada pelaksanaan projek ini kendalikan oleh satu pasukan petugas.

"Di Sarawak (pasukan petugas) akan diketuai menteri kerja raya sendiri manakala saya diamanahkan mengetuai pasukan petugas tersebut di Sabah untuk memastikan pelaksanaan baik pulih 109 sekolah ini berjalan dengan baik," katanya.

Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan peralatan sekolah sumbangan syarikat pengendali Lebuhraya Utara Selatan, PLUS Malaysia Berhad kepada 60 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanaki, di sini hari ini.

Katanya selain pegawai dari Kementerian Kerja Raya, turut menganggotai pasukan petugas itu ialah pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan mesyuarat akan diadakan dari masa ke semasa bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit kelak.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk membaik pulih 109 sekolah itu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) atau konvensional agar ia dapat disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

"Negeri Sabah diberi sedikit kelonggaran (dari segi pelaksanaan kerja baik pulih ini). Ia boleh dilaksanakan secara konvensional disebabkan faktor geografi. Sabah dan Sarawak memang unik sedikit dari segi geografi. Jadi kita diberi kelonggaran jika perlu," katanya.

"Untuk pengetahuan, peruntukan RM1 bilion untuk Sabah itu akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu fasa 2018 dan 2019. Fasa 2018 ialah RM500 juta dan RM500 juta lagi untuk fasa 2019.

"Terima kasih kepada kerajaan pusat, terutama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merai sendiri keperluan kita untuk menaik taraf sekolah. Ia akan memberi wajah baharu kepada bilik darjah, makmal sains dan tandas sekolah yang bakal dibaiki," katanya.